Teh Songket mula beroperasi pada tahun 1969 dengan perusahaan ini telah dipelopori oleh Ayahanda saya iaitu Haji Abdul Hamid Haji Abdul Mutalib bermula dengan menjual songket dari rumah ke rumah dan selepas beberapa bulan, beliau telah menyewa sebuah lot kedai di Aked Malindo, Jalan Tunku Abdul Rahman. Kini, saya mengambilalih dengan dibantu oleh isteri serta adik-adik saya yang menjadi tulang belakang Teh Songket.
Bagi seseorang yang menceburi bidang perniagaan, persaingan bukanlah musuh tetapi adalah sumber inspirasi, dan itulah yang saya alami pada awal-awal perniagaan di Aked Malindo. Walau bagaimanapun, saya berasa amat bertuah kerana mendapat sokongan kuat dari rakan-rakan dan mendapat kepercayaan dari pengunjung yang gemar membeli-belah di Jalan TAR.
Perkara lama jangan dikenang, adalah merupakan sebahagian dari bait-bait lirik di dalam sebuah lagu Allahyarham seniman agung kita, dan bagi saya pula, pengalaman lalu jadikan kenangan terindah dan teruskan berusaha untuk mencapai jaya.
Alhamdulillah sekarang perniagaan Teh Songket di Aked Malindo bertambah maju dari penjualan songket kepada kepelbagaian produk dan perkhidmatan yang melibatkan songket sebagai bahan utama.
Semua yang berlaku ini adalah petanda yang saya harus bekerja dengan lebih kuat, lebih tekun, lebih berwawasan dalam menyahut seruan kerajaan untuk menghasilkan lebih ramai lagi bumiputera yang berkecimpung dan sukses dalam bidang perniagaan.
Saya juga amat berterima kasih kepada pihak media elektronik terutamanya RTM dan juga media cetak iaitu Utusan Malaysia dan Harian Metro kerana memberikan saya peluang untuk muncul di dalam segmen mereka.